Soalan:
Ketika singgah berehat di perhentian dalam perjalanan jauh dari Singapura ke Kedah, saya bersolat zuhur bersama jemaah yang ada dalam surau perhentian itu. Selepas rakaat kedua, tiba-tiba imam member salam dan diikuti dengan jemaah lain. Saya yang terpinga-pinga sekadar mengikuti mereka. Selepas kembali ke dalam kereta, saya dimaklumkan oleh ibu mentua bahawa itu namanya memendekkan solat empat rakaat kepada dua, atau qasar. Saya memang tidak pernah melakukannya kerana tidak tahu bagaimana. Inilah pengalaman pertama saya memendekkan solat. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan.
Jawapan:
Tahniah kerana mendapat ilmu baru tentang menqasarkan solat. Bagaimanapun, dukacita dimaklumkan solat qasar yang anda lakukan bersama jemaah tadi tidak sah. Ini kerana, salah satu syarat sah qasar ialah mengetahui keharusan qasar ini. Selain itu, anda juga wajib berniat untuk memendekkan solat zuhur tersebut ketika takbiratulihram. Solat yang dilakukan dengan mengikut imam yang mengqasarkan solatnya tanpa niat atau pengetahuan yang betul adalah sia-sia.
Soalan:
Saya bertolak dari kampong di Kedah menuju ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan pertandingan bola sepak. Bolehkah saya melakukan qasar dan jamak solat?
Jawapan:
Syarat yang membolehkan seseorang musafir itu mendapat keringanan (rukhsah) daripada Allah s.w.t.,perjalanan itu hendaklah bukan bertujuan maksiat. Oleh itu, tuan perlu bermuhasabah, adakah perjalanan bagi menyaksikan pertandingan bola itu maksiat atau tidak. Sekiranya menyaksikan pertandingan itu dengan niat melakukan rusuhan, atau melibatkan percampuran lelaki dan perempuan, sudah tentu ia bukan perjalanan yang diharuskan.
Soalan:
Selain menghimpunkan dan memendekkan solat, apakah rukhsah lain yang diberikan Allah kepada orang yang musafir?
Jawapan:
Berikut adalah senarai keringanan yang Allah berikan kepada musafir yang memenuhi syarat-syaratnya:
· Mengurangkan bilangan rakaat solat
· Menghimpunkan dua solat dalam satu waktu
· Berbuka puasa Ramadhan
· Sapu khuf bagi menggantikan membasuh kaki ketika berwudhuk selama tiga hari tiga malam
· Meninggalkan solat Jumaat, sekiranya dia keluar dari penempatannya sebelum fajar hari Jumaat.
· Tayamum sekiranya ketiadaan air
· Harus memakan haiwan yang tidak disembelih atau disembelih tanpa mengikut syariat (bangkai) ketika krisis ketiadaan makanan yang kritikal, sekadar memelihara dirinya daripada mati kelaparan
· Melakukan solat sunat di atas kenderaan atau sambil berjalan
No comments:
Post a Comment