السلام عليكم

Orang yang bijak mempelajari banyak perkara daripada musuhnya sendiri.

Asma ul-Husna

Monday, September 26, 2011

Permasalahan mengenai solat jamak dan qasar: part 4

Soalan:
Saya bekerja dan menetap di Kuala Lumpur tetapi sering berulang alik ke Pulau Pinang kerana isteri dan anak-anak tinggal di sana. Saya keliru sama ada saya boleh menjamak dan mengqasarkan solat atau tidak?
Jawapan:
Berdasarkan penjelasan tuan, saya rumuskan tuan mempunyai dua tempat bermukim di dua negeri yang berbeza. Dalam masalah ini, sekiranya tuan dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang, tiada masalah bagi tuan menjamak dan mengqasarkan solat kerana perjalanan itu melebihi dua marhalah (81 km). tetapi tuan tidak lagi mendapat rukhsah jamak dan qasar setelah sampai ke rumah di Pulau Pinang kerana dianggap sebagai tempat tuan bermukim.

Soalan:
Ketika melakukan perjalanan jauh adakah diwajibkan orang yang bermusafir menjamakkan solatnya? Sekiranya mahu bersolat seperti biasa adakah menjadi kesalahan?

Jawapan:
Jamak solat adalah keringanan yang diberikan Allah kepada hamba-hamba-Nya bagi memudahkan ibadah dalam perjalanan dan ia tidak wajib. Sekiranya tidak mengalami kesulitan, bersolat pada waktunya adalah lebih baik dan digalakkan kerana asal solat fardhu adalah mengikut waktunya.

Soalan:
Sekiranya dalam perjalanan yang mengharuskan qasar, saya mempunyai masa yang panjang dan selesa bagi solat penuh. Adakah saya perlu bersolat penuh atau qasar?

Jawapan:
Berbeza dengan menghimpunkan solat yang tidak digalakkan sekiranya ada masa, menqasarkan solat adalah lebih baik daripada bersolat penuh. Walaupun, mempunyai masa ketika dalam perjalanan untuk melakukan solat yang penuh. Ini kerana qasar solat itu adalah pemberian Allah kepada hamba-hamba-Nya, sudah tentu ia perlu diraikan.

Soalan:
Dalam perjalanan menaiki bas dari Johor ke Kuantan, jangkaan tiba mungkin selepas maghrib. Manakah lebih baik, menghimpunkan solat asar ke dalam waktu zuhur atau sebaliknya?

Jawapan:
Sekiranya ada waktu yang membolehkan anda bersolat zuhur dan asar dalam waktu zuhur (jamak takdim), lebih baik anda bersolat jamak takdim. Ini kerana, kemungkinan bas tidak berhenti ketika solat asar, dan ini menyebabkan anda terlepas kedua-dua solat fardhu. Kerana itu, lebih baik melakukan solat jamak takdim daripada jamak takhir.


Soalan:
Adakah disyariatkan setiap kali melakukan jamak mesti diqasarkan juga? Apa yang dimaksudkan dengan qasar?

Jawapan:
Tidak disyariatkan (memendekkan solat) beserta dengan jamak, terpulang kepada kehendak sendiri.
Dari segi bahasa, qasar berasal daripada perkataan arab qasara (ﻗﺼﺮ  ) yang bermaksud memendekkan atau tidak memanjangkan. Dari sudut fikahnya, ia bermaksud solat fardhu empat rakaat yang dipendekkan menjadi dua rakaat, iaitu solat zuhur, asar dan isyak.

Permasalahan mengenai solat jamak dan qasar: part 3

Soalan:
Sekiranya perjalanan yang dilalui tidak memenuhi syarat jarak perjalanan yang mengharuskan jamak dan qasar, adakah saya masih boleh menggunakan rukhsah yang lain?

Jawapan:
Untuk perjalanan yang dekat iaitu tidak sampai 2 marhalah (81 km) anda tidak boleh menjamak dan menqasarkan solat, tidak boleh menyapu khuf tiga hari tiga malam dan tidak boleh berbuka puasa Ramadhan. Tetapi anda masih boleh mendapat keringanan berikut:

·         Sapu khuf bagi menggantikan membasuh kaki ketika berwudhuk selama sehari semalam
·         Meninggalkan solat jumaat, sekiranya keluar dari penempatan sebelum fajar hari Jumaat
·         Tayamum sekiranya ketiadaan air
·         Memakan haiwan yang tidak disembelih atau disembelih tanpa mengikut syariat (bangkai) ketika krisis ketiadaan makanan yang kritikal, sekadar memelihara diri daripada mati kelaparan
·         Melakukan solat sunat di atas kenderaan atau sambil berjalan

Soalan:
Saya menghadapi masalah darah istihadah yang teruk. Keadaan ini menyukarkan saya untuk bersolat kerana terpaksa membersihkan diri dan berwudhuk setiap kali mahu bersolat. Adakah boleh saya menghimpunkan dua solat dalam satu waktu?

Jawapan:
Mazhab Syafi’i tidak membenarkan wanita istihadah menghimpunkan dua solat. Hanya mazhab Hanbali mengharuskannya. Tambahan pula, hukum wanita istihadah adalah sama dengan mereka yang tidak lawas kencing. Beerti puan perlu tunggu masuk waktu solat, kemudian membersihkan darah yang ada pada tubuh dan pakaian, menutup kemaluan dengan kapas, kain atau tuala wanita. Selepas itu, barulah boleh berwudhuk dan bersolat untuk melakukan satu solat fardhu sahaja. Bagi solat berikutnya, puan perlu melakukan seperti itu sekali lagi.

Soalan:
Ayah saya sakit tua dan sangat tenat. Sangat sukar untuk beliau berwudhuk pada setiap waktu solat kerana tidak mampu berdiri dan terpaksa diusung. Bolehkah ayah saya menjamak dan menqasarkan solat?

Jawapan:
Pada dasarnya mazhab Syafi’i tidak membenarkan jamak solat bagi orang yang sakit, hanya mazhab Maliki dan Hanbali yang mengharuskan. Bagaimanapun, isu ini dibincangkan di peringkat jawatankuasa Perunding Hukum Syarak dan hasilnya dikeluarkan fatwa seperti berikut:
“Harus menjamakkan sembahyang kerana menjalani rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama.”
Keharusan ini hanyalah untuk jamak solat. Qasar tidak boleh dilakukan kerana qasar hanya harus kepada orang yang bermusafir.

Permasalahan mengenai solat jamak dan qasar: part 2

Soalan:
Ketika singgah berehat di perhentian dalam perjalanan jauh dari Singapura ke Kedah, saya bersolat zuhur bersama jemaah yang ada dalam surau perhentian itu. Selepas rakaat kedua, tiba-tiba imam member salam dan diikuti dengan jemaah lain. Saya yang terpinga-pinga sekadar mengikuti mereka. Selepas kembali ke dalam kereta, saya dimaklumkan oleh ibu mentua bahawa itu namanya memendekkan solat empat rakaat kepada dua, atau qasar. Saya memang tidak pernah melakukannya kerana tidak tahu bagaimana. Inilah pengalaman pertama saya memendekkan solat. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan.
Jawapan:
Tahniah kerana mendapat ilmu baru tentang menqasarkan solat. Bagaimanapun, dukacita dimaklumkan solat qasar yang anda lakukan bersama jemaah tadi tidak sah. Ini kerana, salah satu syarat sah qasar ialah mengetahui keharusan qasar ini. Selain itu, anda juga wajib berniat untuk memendekkan solat zuhur tersebut ketika takbiratulihram. Solat yang dilakukan dengan mengikut imam yang mengqasarkan solatnya tanpa niat atau pengetahuan yang betul adalah sia-sia.

Soalan:
Saya bertolak dari kampong di Kedah menuju ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan pertandingan bola sepak. Bolehkah saya melakukan qasar dan jamak solat?
Jawapan:
Syarat yang membolehkan seseorang musafir itu mendapat keringanan (rukhsah) daripada Allah s.w.t.,perjalanan itu hendaklah bukan bertujuan maksiat. Oleh itu, tuan perlu bermuhasabah, adakah perjalanan bagi menyaksikan pertandingan bola itu maksiat atau tidak. Sekiranya menyaksikan pertandingan itu dengan niat melakukan rusuhan, atau melibatkan percampuran lelaki dan perempuan, sudah tentu ia bukan perjalanan yang diharuskan.
Soalan:
Selain menghimpunkan dan memendekkan solat, apakah rukhsah lain yang diberikan Allah kepada orang yang musafir?
Jawapan:
Berikut adalah senarai keringanan yang Allah berikan kepada musafir yang memenuhi syarat-syaratnya:
·         Mengurangkan bilangan rakaat solat
·         Menghimpunkan dua solat dalam satu waktu
·         Berbuka puasa Ramadhan
·         Sapu khuf bagi menggantikan membasuh kaki ketika berwudhuk selama tiga hari tiga malam
·         Meninggalkan solat Jumaat, sekiranya dia keluar dari penempatannya sebelum fajar hari Jumaat.
·         Tayamum sekiranya ketiadaan air
·         Harus memakan haiwan yang tidak disembelih atau disembelih tanpa mengikut syariat (bangkai) ketika krisis ketiadaan makanan yang kritikal, sekadar memelihara dirinya daripada mati kelaparan
·         Melakukan solat sunat di atas kenderaan atau sambil berjalan

Permasalahan mengenai solat jamak dan qasar: part 1

Soalan:
Saya tidak faham apa yang dimaksudkan dengan jamak takdim dan bagaimana melakukannya?

Jawapan:
Takdim atau taqdim ialah perkataan arab yang berasal daripada kata kerja qaddam (ﻗﺪﻢ ) yang bermaksud mendahulukan. Jamak takdim ialah menghimpunkan dua soalat fardhu pada waktu yang pertama. Iaitu mengerjakan solat zuhur dan asar pada waktu zuhur, dan solat maghrib dan isyak pada waktu maghrib. Ini dijelaskan dalam sebuah laporan yang mengatakan:
“Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w.dalam perang Tabuk, dan baginda bersolat zuhur dan asar bersama (jamak), dan maghrib dan isyak bersama.”
(Direkodkan oleh Muslim dalam Sahih Muslim pada bab Solat Musafir dan Qasarnya; Jamak dua solat ketika musafir)

Soalan:
Apa yang dimaksudkan dengan jamak takhir?
Jawapan:
Takhir ialah perkataan arab yang berasal daripada kata kerja taakhkhara (ﺗﺄﺧﺮ  ) yang bermaksud mengemudiankan atau melewatkan. Jamak takhir ialah menghimpunkan dua solat fardhu pada waktu yang kedua. Iaitu menunaikan solat zuhur dan asar pada waktu asar, dan solat maghrib dan isyak pada waktu isyak. Sebagaimana al-Tirmizi meriwayatkan daripada Muaz bin Jabal, katanya:
“Nabi s.a.w.ketika dalam perang Tabuk, sekiranya keluar sebelum matahari condong, baginda akan melewatkan solat zuhur hingga asar, dan menunaikan kedua-dua solat serentak )jamak takhir). Sekiranya baginda keluar selepas matahari condong, baginda menyegerakan solat asar dalam waktu zuhur dan menunaikan kedua-duanya bersama (jamak takdim). Sekiranya keluar sebelum maghrib, baginda melewatkan solatnya dan menunaikan bersama dengan Isyak (jamak takhir). Sekiranya keluar selepas maghrib, baginda menyegerakan Isyak dan mendirikannya bertsama dengan maghrib (jamak takdim).”
(Direkodkan oleh al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi pada bab Jamak di sisi Rasulullah; Tentang menjamakkan dua solat)

Soalan:
Adakah keringanan memendekkan solat disyariatkan bersama dengan pensyariat menghimpunkan solat?
Jawapan:
Keharusan memendekkan solat disyariatkan lebih awal daripada pensyariatan jamak. Sarjana sejarah sepakat menyatakan ia disyariatkan selepas penghijrahan Rasulullah s.a.w.ke Madinah. Tetapi mereka berbeza pendapat tahun sebenar ia disyariatkan, ada yang berpendapat tahun 4 hijrah atau tahun 2 Hijrah.

Munakahat (Perkahwinan)

Perkahwinan adalah suatu peraturan untuk mengatur nafsu kelamin di kalangan manusia. Sabda Rasulullah:
“Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya dia telah memelihara sebahagian daripada agamanya.”

Hukum Berkahwin
Hukum berkahwin terbahagi kepada 4:
1.       Perkahwinan Mubah (harus)
Asal hukum perkahwinan ini adalah mubah (harus). Walau bagaimanapun, kadang-kadang perkahwinan itu bertukar hukum menjadi wajib, haram, sunat dan makruh.

2.       Perkahwinan Wajib
Hukum perkahwinan itu menjadi wajib apabila seseorang itu berkemampuan berkahwin fizikal dan mental, dan bimbang pula dirinya akan terjerumus ke lembah maksiat dengan melakukan zina, maka pada ketika itu hukumnya berkahwin itu menjadi wajib. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Wahai sekalian pemuda, sesiapa di antara kamu yang sanggup berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin, maka sesungguhnya kahwin itu menghalang pandangan kepada sesuatu yang haram (yang dilarang Allah) dan memelihara kemaluan. Dan sesiapa yang tidak sanggup berbuat demikian (berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu adalah perisai baginya.”

(Hadith Muattafaq ‘alaih)

3.       Perkahwinan Sunat
Seseorang yang mempunyai kemampuan dan kesanggupan untuk berkahwin dan sanggup pula memelihara diri dari melakukan perbuatan yang dilarang Allah; Islam melarang orang yang sengaja hidup membujang. Adalah Rasulullah s.a.w.sangat melarang seseorang itu hidup membujang tanpa berkahwin dan bersabda:

“Kahwinilah olehmu wanita yang bersifat penyayang dan beranak (subur) maka sesungguhnya pada hari kiamat kelak aku bermegah-megah dengan banyaknya bilangan kamu (umatku).”

4.       Perkahwinan Makruh
Seseorang yang tidak mampu atau berkesanggupan untuk berkahwin seperti tidak mampu memberi nafkah.

Perkahwinan Haram
5.       Seseorang yang mempunyai kemampuan untuk berkahwin tetapi kalau dia berkahwin diduga menimbulkan bahaya kepada bakal isterinya seperti seseirang lelaki yang berkahwin dengan tujuan untuk menyakiti bakal isterinya itu. Maka perkahwinan itu hukumnya haram.

Pinang-meminang
Sebelum berazam untuk meneruskan perkahwinan, Islam menganjurkan supaya seseorang lelaki itu memilih pasangan yang sesuai untuknya. Rasulullah s.a.w.bersabda:
“Kahwinilah perempuan itu kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, agamanya maka pilihlah yang beragama, mudah-mudahan kamu terpelihara dan bahagia.”
Sabda Rasulullah s.a.w.lagi:
“Jangan kamu mengahwini wanita itu kerana didorong oleh kecantikannya, mungkin kecantikan itu akan merosakkan dirinya, dan janganlah kamu mengahwininya kerana hartanya (kaya), mungkin dengan kekayaannya akan menyebabkan ia berlagak sombong dan angkuh. Tetapi kahwinilah berasaskan latar belakang agamanya. Sesungguhnya seseorang hamba sahaya yang hitam legam dan beragama adalah paling baik.”
(Riwayat Ibn Majah)

Peminangan
Peminangan atau melahirkan keinginan untuk berkahwin atau permintaan sari seorang lelaki kepada seorang perempuan untuk mengahwininya, sama ada dilakukan oleh lelaki itu secara langsung atau tidak langsung iaitu dengan perantaraan orang lain yang boleh dipercayai sesuai dengan ketentuan agama.
Meminang boleh dilafazkan secara terang bagi meminang anak dara dan janda yang telah habis idahnya. Pinangan boleh dilakukan secara sindiran iaitu bagi janda yang masih di dalam idah bain.

Meminang Orang Yang Sudah Bertunang
Haram meminang wanita yang sudah bertunang. Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Janganlah seseorang lelaki kamu meminang gadis yang telah dipinang oleh saudaranya, melainkan pertunangan (pinangan) itu sebelumnya telahpun diputuskan dengan izin peminangnya itu.”
(Hadith Riwayat Bukhari)

Meminang Wanita Di Dalam Idah Raj’iyah
Haram hukumnya meminang wanita yang sedang di dalam idah raj’iyah iaitu idah yang boleh dirujuk kembali oleh bekas suaminya.

Melihat Wanita Yang Hendak Dipinang
Seorang lelaki diizinkan oleh syarak untuk melihat bakal tunangan khususnya muka dan kedua telapak tangan. Hanya itulah anggota yang dibenarkan oleh syarak untuk dilihat dan tidak lebih dari itu serta hendaklah ditemani oleh seorang mahram. Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Apabila salah seorang daripada kamu meminang seseorang perempuan, jika dia dapt melihat apa yang menarik sehingga ingin mengahwininya, lakukanlah itu.”
(Hadith Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Bala Itu Ujian Allah

“Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”

“(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

(surah al-Hadid: 22-23)


“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?”

“Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

(surah al-Ankabut: 2-3)

“Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir".

(surah Yusuf: 87)

Monday, September 19, 2011

Hak Muslim Terhadap Saudaranya Yang Muslim

  1. Menutup keaibannya
  2. Meringankan kesusahannya
  3. Membantu di dalam segala hal yang penting dan perlu
  4. Memenuhi segala hajat dan keperluannya
  5. Menghapuskan duka nestapanya
  6. Membelanya jika teraniaya
  7. Menolongnya jika lemah
  8. Meringankan beban hidupnya
  9. Menghormati orang tua
  10. Kasihan terhadap yang kecil
  11. Tidak menyusahkannya, tidak mensia-siakannya, tidak menghina atau memandang rendah kepada yang lain.
  12. Tidak mencaci atau mengejeknya
  13. Tidak menipu saudaranya yang Muslim
  14. Tidak dengki, dendam atau sangka jahat terhadap saudaranya
  15. Mengasihaninya sebagaimana mengasihani dirinya sendiri


Adab Dan Hak Seorang Teman Dan Sahabat

  1.   Memberi salam ketika bertemu
  2.  Menziarahi ketika dia sakit
  3. Mendoakan ketika dia bersin
  4. Sering menziarahi ke rumahnya kerana menghubungi persahabatan kerana Allah s.w.t.semata-mata
  5. Membantunya ketika waktu susah
  6. Menerima undangan jika diundang ke majlis atau ke rumahnya
  7. Memberi tahniah pada bulan-bulan dan hari Hari Raya
  8. Saling memberi hadiah pada upacara-upacara dan hari-hari tertentu
  9. Membenci sesuatu yang tidak baik baginya sebagaimana anda membenci sesuatu bagi diri anda
  10. Sama-sama bergembira ketika senang, dan sama-sama bersedih ketika dia bersedih
  11. Hendaklah anda sentiasa memelihara nama baiknya ketika waktu hidup dan matinya
  12. Hendaklah anda berbakti kepada anak isterinya serta kaum kerabatnya ketika hidup atau matinya

Saturday, September 17, 2011

Adab-adab Hak Terhadap Ibu Bapa

  1. Mentaati ibu dan bapa dalam semua hal kecuali perintah melakukan maksiat
  2. Berbicara dengan keduanya dengan penuh sopan dan lemah lembut
  3. Bangun menghormati keduanya apabila mereka datang
  4. Mencium tangan keduanya setiap pagi dan petang
  5. Memelihara nama, kehormatan serta harta benda mereka
  6. Memuliakan mereka dan member apa yang mereka pinta
  7. Berbincang dengan mereka dalam segala pekerjaan dan urusan
  8. Memperbanyakkan doa dan memohon ampun untuk mereka
  9. Sentiasa berusaha mengembira dan menyenangkan mereka
  10. Tidak mengangkat suara di hadapan mereka
  11. Tidak keluar rumah tanpa keizinan mereka
  12. Tidak memotong percakapan mereka
  13. Tidak memeranjatkan mereka jika sedang tidur
  14. Tidak melebihkan isteri dan anak dari mereka berdua
  15. Tidak mencela mereka jika mereka melakukan sesuatu yang tidak memuaskan
  16. Tidak tertawa di dalam majlis mereka, jika tidak ada sebab yang menarik untuk ketawa
  17. Tidak memakan makanan yang ada di sisi mereka
  18. Tidak berbaring atau tidur sedangkan mereka masih lagi duduk kecuali mereka mengizinkan
  19. Tidak memakan makanan dalam satu hidangan mendahului mereka
  20. Tidak melunjurkan kaki di hadapan mereka
  21. Tidak berjalan mendahului mereka
  22. Menyahut panggilan mereka serta-merta apabila mereka memanggil
  23. Memuliakan sahabat-sahabat mereka khususnya sesudah mereka meninggal dunia. Dan doanya seperti dalan al-Quran:

Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka memeliharaku dengan penuh kasih saying pada waktu kecil.”
(Surah al-Isra’: 24)

15 Musuh Iblis

Nabi Muhammad s.a.w.
Imam yang adil
Orang kaya yang rendah hati
Pedagang yang jujur
Orang alim yang sembahyangnya khusyuk
Orang beriman yang suka memberi nasihat
Orang beriman yang pengasih
Orang yang bertaubat dan tetap atas taubatnya
Orang yang tidak mahu berbuat kemungkaran
Orang beriman yang sentiasa berwudhuk
Orang beriman yang banyak bersedekah
Orang beriman yang berkelakuan baik
Orang beriman yang memberi manfaat kepada orang lain
Orang yang mengamalkan dan terus membaca al-Quran
Orang yang menegakkan ibadat pada waktu malam sedangkan orang lain tidur dengan nyenyaknya

Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangi

Salah SatuTanda-Tanda Kiamat