Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, (Qaaf 50:16) Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. (Qaaf 50:17) Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Qaaf 50:18) Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmaut" membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): "Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!" (Qaaf 50:19) |Dan lagi (apabila sampai saat yang ditentukan) ditiuplah sangkakala (untuk menghidupkan semula makhluk-makhluk yang telah mati); saat itu ialah hari berlakunya amaran yang telah diberikan. (Qaaf 50:20)
Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: yang satu menjadi) pembawa, dan (yang satu lagi menjadi) saksi; (Qaaf 50:21) |(Serta dikatakan kepadanya): "Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)". (Qaaf 50:22) Dan berkatalah malaikat yang sentiasa ada bersama-samanya: "Inilah (Kitab catitan iman dan amal) orang yang terletak dalam jagaanku, siap sedia (untuk dibicarakan)". (Qaaf 50:23)
(Setelah tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): "Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam neraka Jahannam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya; - (Qaaf 50:24) |"Yang sering menghalangi jenis kebajikan, yang melanggar hukum agama, lagi yang meragukan kebenaran, (Qaaf 50:25) "Yang menyembah benda yang lain bersama-sama Allah; maka humbankanlah oleh kamu berdua akan dia ke dalam azab seksa yang seberat-beratnya". (Qaaf 50:26) (Semasa ia dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: "Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong". (Qaaf 50:27)
Allah berfirman: "Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang-orang yang bersalah). (Qaaf 50:28) "KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti, dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hambaKu". (Qaaf 50:29) (Peringatkanlah manusia) akan hari Kami bertanya kepada neraka Jahannam: "Adakah engkau sudah penuh? " Ia menjawab: "Adakah lagi sebarang tambahan?" (Qaaf 50:30) Dan (ingatkanlah pula hari) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa, di tempat yang tidak jauh (dari mereka). (Qaaf 50:31)
(Serta dikatakan kepada mereka): "Inilah yang dijanjikan kepada kamu, - kepada tiap-tiap hamba yang sentiasa kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadat), lagi yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah); (Qaaf 50:32) "(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat". (Qaaf 50:33) (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): "Masuklah kamu ke dalam Syurga dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal". (Qaaf 50:34) Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka). (Qaaf 50:35)
No comments:
Post a Comment